Google
 

Wednesday, April 18, 2007

Huraian Sukatan Pelajaran Sains Sekolah Rendah

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan dalam mata pelajaran Sains sekolah rendah ini berteraskan pembelajaran melalui pengalaman yang mengutamakan pendekatan inkuiri. Inkuiri secara amnya bermaksud mencari maklumat, menyoal dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku di sekeliling.Penemuan merupakan sifat utama inkuri. Pembelajaran secara penemuan berlaku apabila konsep dan prinsip utama dikaji dan ditemui oleh murid sendiri. Walau bagaimanapun, di peringkat sekolah rendah, murid memerlukan bimbingan dan panduan dalam menemui sesuatu konsep dan prinsip. Justeru, pendekatan yang berkesan ialah melalui penemuan terbimbing. Ini bermaksud bahawa guru membimbing murid dalam menemui sesuatu konsep dan prinsip melalui perbincangan, pertanyaan atau penyelesaian masalah.Namun demikian, perlu diingat bahawa pendekatan inkuiri tidak sesuai digunakan dalam semua situasi pengajaran dan pembelajaran. Beberapa konsep dan prinsip lebih sesuai didedahkan secara langsung oleh guru.Pelbagai kaedah boleh dijalankan oleh guru untuk mengasuh dan membimbing murid memperoleh ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran saintifik dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam mempelajari sains supaya menjadi lebih kritis, analitis dan bertanggungjawab. Kaedah yang disarankan termasuk eksperimen, perbincangan, simulasi dan projek.


Eksperimen
Menguji hipotesis melalui penyiasatan. Ini melibatkan murid mengawal pembolehubah dan juga melibatkan kemahiran proses dan kemahiran manipulatif.

Perbincangan
Murid menyoal dan mengemukakan pendapat berlandaskan dalil atau ulasan yang sahih dan mempunyai fikiran terbuka untuk menerima pendapat orang lain.

Simulasi
Aktiviti yang dijalankan menyerupai yang sebenarnya. Tiga contoh simulasi yang utama ialah main peranan, permainan dan penggunaan model. Dalam main peranan, murid melakonkan sesuatu peranan secara spontan berdasarkan beberapa syarat yang telah ditentukan. Permainan pula mempunyai peraturan-peraturan yang harus dipatuhi. Murid bermain untuk mempelajari sesuatu prinsip ataupun untuk memahami proses membuat keputusan. Model boleh digunakan untuk mewakili objek atau keadaan sebenar. Murid dapat membayangkan situasi tersebut dan seterusnya memahami konsep dan prinsip yang dipelajari.

Projek
Aktiviti yang dijalankan oleh individu atau sekumpulan murid untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu dan mengambil masa yang panjang serta menjangkau waktu pembelajaran yang formal.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home